Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Hukum mengambil Vaksin COVID-19.
Info ini diambil daripada facebook Dr. Muhammad Ikram Abu Hassan bertarikh 31 Januari 2021.
Admin telah mendapat kebenaran Dr. untuk memuatnaik penerangan mengambil Vaksin COVID-19 ke dalam Laman Web ini. Diharapkan dengan info ini dapat menjelaskan kepada semua lapisan masyarakat dalam negara ini amnya.
Petikan daripada Dr. Muhammad Ikram Abu Hassan dalam facebooknya.
Bismillahirrahmanirrahim.
Baru-baru ni, ada sahabat-sahabat yang menghantar kiriman bertanya kepada saya, berkaitan pandangan saya dalam isu vaksin COVID-19. Pada saya, terdapat banyak kekeliruan yang timbul hari ini adalah kerana terlalu banyaknya pandangan yang dikeluarkan oleh ramai pihak di media sosial. Sesiapa yang hidup di zaman ini pasti akan terkena tempias media sosial ini. Dan tidak dapat dinafikan, apabila wujud sesuatu isu, orang awam seolah-olahnya menjadikan media sosial sebagai sumber hukum.
Oleh itu, disini saya akan cuba menerangkan panduan syariat dalam berkaitan isu pengambilan vaksin COVID-19 ini.
1. Islam agama Syariat. Sentiasa ada pandangan dan panduan syarak terhadap setiap perkara yang berlaku setiap hari, bahkan setiap detik.
2. Dalam hal penyakit, bahaya, mudarat, panduan Islam adalah menolak perkara tersebut untuk diri sendiri dan orang lain, dan lebih dari itu, mencegah lebih baik dari mengubati. Nabi SAW bersabda dalam satu Hadis: لا ضرر ولا ضرار ُErtinya: Tidak boleh memudharatkan (diri sendiri) dan memberi kemudharatan (kepada orang lajn)." (Hadith riwayat Ahmad) Hadis ini juga terdapat tafsiran yang lain di sisi ulama iaitu: "Tidak memudharatkan dan tidak boleh membalas kemudharatan. "
3. Selain itu Kaedah Sad al-Zarai' سد الذرائع yang lahir dari dasar Syariat Islam yang menolak kemudharatan bermaksud menutup pintu kerosakan.
4. Oleh itu, sekiranya terdapat sesuatu yang dapat mencegah diri kita dan orang lain daripada penyakit, hendaklah kita berusaha mencari dan mengambilnya berdasarkan kaedah di atas. Permasalahan Vaksin COVID-19.
5. Vaksin atau apa jua jenis ubat-ubatan, perlulah disahkan oleh doktor pakar yang terlibat. Sekiranya berlaku percanggahan, hendaklah melihat kredibiliti dan kewibaan berdasarkan pengalamannya. ini berdasarkan kepada firman Allah SWT: فَسۡـَٔلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui. An-Nahl, 43.
6. Oleh itu, mendapatkan pengesahan daripada pakar untuk sesuatu ubat-ubatan mahupun vaksin adalah perkara yang wajib bagi kerajaan, dan bagi orang Islam. Dan tidak salah jika bertanya dan meniliti pandangan-pandangan pakar dalam hal ini.
7. Apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah:
- Umat Islam perlu mencegah daripada sebarang penyakit.
- Wasilah yang digunakan pula perlulah selari dengan hukum syarak.
- Keadaan darurat dan menjaga nyawa boleh menghalalkan sebahagian perkara yang haram dengan kadarnya.
- Wajib mendengar dan mengikuti nasihat pakar dalam hal vaksin ini.
- Tidak menjadikan media sosial sumber hukum terhadap sesuatu perkara. Akhir kalam, semoga Allah menjaga dan memelihara kita semua dari segala penyakit dan mudharat. Amin..
0 Comments