Kategori Tingkatan Nafsu

Kategori Tingkatan Nafsu menurut Ahli Tasawuf.

Terdapat tujuh (7) nafsu manusia iaitu:

1. Nafsu Amma-rah.

Ini adalah tingkatan yang paling rendah. Nafsu amma-rah cenderung mendorong manusia untuk melakukan perbuatan jahat sama ada ia faham perbuatan jahat atau tidak. Baik, jahat adalah sama disisi perasaan hatinya. Ia tidak merasa bersalah di atas perbuatan jahat, malah kadang-kadang sebaliknya iaitu apabila ia berbuat jahat maka terdapat persaan lega dan gembira dihatinya. Sifat orang yang mempunyai nafsu amma-rah antara ialah:

  1. Bakhil;
  2. Tamak dan haloba harta dunia;
  3. Panjang angan-angan;
  4. Sombong takabbur;
  5. Ingin dan kasih kemegahan;
  6. Ingin namanya terkenal dan masyhur;
  7. Hasa-dengki;
  8. Dendam kasumat;
  9. Khianat dan niat jahat; 
  10. bertabiat lalai kepada Allah, dan lain-lain lagi.

2. Nafsu Lawwa-mah 

Tingkatannya lebih tinggi daripada nafsu amma-rah. Orang yang berada pada tahap nafsu lawwa-mah ini sudah mengetahui antara perbuatan yang dilarang dan amal kebajikan. Walau bagaimana pun masih tidak terlepas melakukan kesalahan. Apabila melakukan kesalahan nafsu ini sering mengkritik dirinya dan cepat-cepat beristighfar kepada Allah serta menyesali kesalahnya. Syurga bagi martabat nafsu ini masih belum terjamin kecuali dengan mendapat keampunan daripada Allah S.W.T jua. Antara sifat-sifat yang ada dalam nafsu ini ialah:

  1. Mencela kepada kesalahan dirinya sendiri;
  2. Bertabiat berfikir (bertafakkur);
  3. Terdapat perasaan kecil hati bila bersalah;
  4. Terdapat perasaan mengeritik terhadap apa jua yang dikatakan kejahatan;
  5. Hairan kepada dirinya sendiri kerana disangka dirinya lebih baik (ujub);
  6. Membuat sesuatu kebajikan kerana hendak memperlihatkan kepada orang (riak);
  7. Memperdengarkan kepada orang sesuatu kebajikan yang dibuatnya supaya mendapat pujian orang; dan
  8. Lain-lain lagi sifat-sifat keaipan hati.

3. Nafsu Mulhamah

Apabila sifat-sifat yang terkeji yang terdapat dalam nafsu amma-rah dan lawwa-mah tadi berjaya dileburkan mengikut cara orang-orang sufi maka bertukarlah darjah nafsu yang tidak berbau syurga tadi beralih corak menjadi nafsu mulhamah, nafsu mulhamah ini ialah nafsu yang sudah menerima latihan beberapa proses kesucian dari sifat-sifat hati yang cemar tadi melalui perjalanan Sufiah. Dan dari kerana kesucian hati itu, terbuanglah lintasan-lintasan fikiran kotor atau khuatir-khuatir syaitan dan mengambil alih di tempat itu oleh khuatir-khuatir dari malaikat atau dari Allah yang mana kita namakan "ilham". Di antara sifat-sifat kasar yang timbul dari benih nafsu mulhamah yang baik itu ialah sifat-sifat terpuji seperti di bawah:

  1. Tak sayangkan harta sakhawah;
  2. Berasa cukup dengan kurniaan harta yang ada;
  3. Berilmu laduni atau ilham;
  4. Timbul perasaan merendah diri kepada Allah (tawadhuk);
  5. Taubat yang benar-benar (hakiki);
  6. Sabar yang hakiki;
  7. Tahan menanggung kesusahan; dan
  8. Lain-lain daripada sifat-sifat yang terpuji.

4.  4. Nafsu Muthma-innah

   Nafsu mulhamah tadi sungguhpun bersih dan suci tetapi belum lagi ia sampai kepada kejernihan yang teguh dan apabila nafsu itu teguh dan tetap dalam proses mencapai makrifat dan hakikat dan melekat di hatinya sifat-sifat yang terpuji jua dan tetap pula terkikis dari kalbunya sifat-sifat yang tercela maka di waktu itu berhak ia mendapat gelaran makam nafsu mutma-innah. Nafsu mutma-innah adalah permulaan mendapat darjat wali kecil. Firman Allah S.W.T dalam Quran:

    

    Ertinya wahai nafsu mutmainnah kembalilah kepada Tuhan engkau sambil berhati suka-ria serta direhai Tuhan maka masuklah olehmu dalam golongan hamba-hambaku yang salih dan masuklah syurgaku.

Sifat-sifat kerohanian yang timbul dari benih yang waja lagi comel (nafsu mutmainnah) ini ialah bahawa dapat dirasa dalam hati sendiri oleh orang yang berjaya mencapai makam nafsu yang bertuah itu, akan sifat-sifat di antaranya ialah:

  1. Murah hati dan tak lekat wang di tangan kerana bersedekah;
  2. Tawakal yang benar;
  3. Bersifat arif dan bijaksana;
  4. Kuat beribadat;
  5. Syukur yang benar;
  6. Redha pada segala hukuman Allah;
  7. Takwa yang benar; dan
  8. Lain-lain lagi daripada sifat-sifat hati yang waja lagi terpuji.

5. 5. Nafsu Radhiah

Orang yang mencapai tingkat ini selalu merasa puas dengan apa yang diterimanya dari Allah S.W.T. Bagi mereka sama saja kejadian baik maupun buruk yang menimpanya. Hatinya tidak terpengaruh oleh kehidupan dunia. Mereka selalu kembali pada Allah dan redha dengan semua keputusannya. Antara sifat-sifat orang yang berada di makam ini ialah:

  1. Zuhud;
  2. Ikhlas;
  3. Warak;
  4. Tinggal perkara-perkara yang bukan kerjanya;
  5. Tunai dan tepatkan hukum-hukum Allah; dan
  6. Lain-lain lagi daripada sifat kerohanian yang tinggi-tinggi.

6. Nafsu Mardhiyyah

Tingkatan ini lebih tinggi dari tingkatan Nafsu Radhiah. Segala gerak-geri orang yang mempunyai nafsu mardhiyyah adalah di dalam pemiliharaan Allah S.W.T. Maksudnya, orang yang berada pada makam nafsu ini Allah akan memelihara dirinya daripada melakukan maksiat dan kejahatan. Segala perbuatannya iaitu zahir dan batinnya telah mendapat redha Allah S.W.T. Nafsu peringkat ini hanya cenderung dalam perkara-perkara kebaikan sahaja dan menjauhi segala yang mungkar. Ini adalah nafsu para wali dan aulia darjat tertinggi di sisi Tuhan. Antara sifat-sifat budi atau kerohanian yang timbul dari maqam mardhiah yang bertuah ini  ialah:

  1. Elok dan tingginya budi atau kesusilaan, umpama nabi-nabi;
  2. Lemah-lembut dalam pergaulan masyarakat ramai bagaimana perangai nabi-nabi;
  3. Sentiasa rasa gembira untuk beribadat dengan Allah;
  4. Sentiasa berfikir pada kebesaran Allah;
  5. Redha dan rela dengan apa-apa pemberian Allah; dan
  6. Lain-lain lagi daripada sifat-sifat budi kesusilaan yang terpuji.

7.  Nafsu Kamilah

Tingkatan yang ketujuh ini adalah tingkatan para Nabi dan Rasul, manusia yang suci dan sempurna. Makam nafsu ini terpelihara dari perbuatan tercela dan Allah S.W.T selalu mengawasi dan membimbingnya. Untuk meraih nafsu dari peringkat yang paling bawah hingga peringkat yang tertinggi mengambil masa yang lama dan bertahun-tahun sehingga Allah SWT terima akan usahanya. Justeru itu, marilah kita bersama-sama berazam dengan berlumba-lumba beramal untuk meningkatkan peringkat nafsu kita ke tahap paling tertinggi agar kita semua ditempatkan oleh Allah S.W.T di Taman Syurganya yang tidak dapat digambarkan atau dilukis oleh panca indera kita kerana keindahannya. Insya Allah. Aamiin.

Sumber: Buku Mengenali diri dan Wali Allah Pustaka Aman Press Sdn. Bhd - Cetakan 12.









Post a Comment

0 Comments