HADITH SOLAT DHUHA

 

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.   


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Solat dhuha merupakan salah satu dari solat nafilah (sunat) yang dituntut. Terdapat banyak nas yang menyebutkan akan kelebihan dan kepentingan solat ini. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Abu Hurairah r.a beliau berkata :

 أَوْصَانِي خَلِيلِي صلى الله عليه وسلم بِثَلاَثٍ بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَىِ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ

Maksudnya : Kekasihku telah berpesan kepadaku terhadap tiga perkara. (Iaitu) berpuasa sebanyak tiga hari dalam sebulan, dua rakaat solat dhuha, dan supaya aku melakukan solat witir sebelum aku tidur.

Riwayat Muslim (721)

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa solat dhuha ini dituntut oleh Rasulullah S.A.W. Dua rakaat solat dhuha yang disebutkan di dalam hadith ini menjelaskan berkenaan bilangan rakaat paling ringkas bagi solat dhuha. Meskipun begitu, ia tidaklah terhad kepada dua rakaat sahaja, bahkan para fuqaha al-Syafi’eyyah menjelaskan bahawa bilangan rakaat paling afdhal bagi solat dhuha adalah sebanyak 8 rakaat manakala bilangan rakaat paling maksima adalah sebanyak 12 rakaat seperti yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi.

Kami juga mengongsikan kenyataan Imam Al-Nawawi yang berkata : Sesungguhnya Nabi S.A.W melakukan solat dhuha ini pada sebahagian waktu dan baginda meninggalkannya pada sebahagian waktu yang lain, takut-takut orang ramai menyangka ia sebagai wajib atau takut-takut ia difardhukan ke atas mereka. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/37).

Sumber Rujukan: Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Antara Hadith lain berkaitan Solat Dhuha ialah:

  1. Sayyidina Hasan bin 'Ali r.a berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda, "Sesiapa yang menunaikan solat subuh kemudian dia berzikir kepada Allah S.W.T sehingga terbit matahari kemudian dia menunaikan dua atau empat rakaat solat (isyrak) maka kulitnya pun tidak akan disentuh oleh api neraka." (Baihaqi)                                                                                          
  2. Sayyidina Anas bin Malik berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesiapa yang bersolah subuh dengan berjemaah kemudian dia berzikir sehingga terbit matahari kemudian dia menunaikan solat dua rakaat akan mendapat ganjaran haji dan umrah." Sayyidina Anas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda "Ganjaran haji dan umrah yang sempurna, ganjaran haji dan umrah yang sempurna, ganjaran haji dan umrah yang sempurna." (Tirmizi)                                                                                                                        
  3. Sayyidina Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya Allah SW.T berfirman, "Wahai anak Adam, janganlah kamu sekali-kali lemah daripada menunaikan empat rakaat solat sunat (isyrak) pada permulaan hari nescaya Aku akan memenuhkan keperluanmu sepanjang hari." (Musnad Ahmad: Majma' uz-Zawa'id). Keterangan: Kelebihan ini ialah untuk solat isyrak dan ada juga kemungkinan bahawa yang dimaksudkan ialah solat dhuha.                                                          
  4. Sayyidina Abu Zar r.a berkata bahawa sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda, "Menjadi tanggungjawab setiap orang daripada kamu memberi satu sedekah bagi pihak setiap sendi (pada jasadnya sebagai mensyukuri terhadap kesejahteraan anggotanya itu). Maka setiap ucapan kalimah 'subhanallah' ialah sedekah, setiap ucapan kalimah ' Alhamdulillah' ialah sedekah, setiap ucapan kalimah 'Lailla ha illalah'' ialah sedekah, setiap ucapan kalimah 'Allah Hu Akbar' ialah sedekah, menyuruh orang membuat kebaikan juga ialah sedekah dan melarang daripada kemungkaran ialah sedekah dan dua rakaat solat dhuha sudah memadai untuk menunaikan kesyukuran bagi pihak semua sendi." (Muslim)                                                                                                  
  5. Sayyidina Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesiapa yang mengambil berat menjaga dua rakaat solat sunat dhuha maka dosa-dosanya akan diampunkan walaupun sebanyak buih di lautan." (Ibnu Majah)                                                                                                                        
  6. Sayyidina Abu Darda r.a berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesiapa yang bersolat sunat dhuha dua rakaat tidak akan ditulis dalam kalangan orang-orang yang lalai daripada beribadat. Sesiapa yang mengerjakan empat rakaat akan ditulis dalam kalangan ahli ibadat dan sesiapa yang mengerjakan enam rakaat, maka dia akan dibantu dalam segala urusannya pada hari itu. Sesiapa yang mengerjakan lapan rakaat maka akan ditulis dalam kalangan 'qanitin' (orang orang yang taat). Sesiapa yang mengerjakan dua belas rakaat maka Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga. Allah S.W.T sentiasa memberi kurniaan dan sedekah kepada hamba-hamba-Nya setiap siang dan malam dan tiada kurniaan Allah S.W.T yang lebih afdal ke atas salah seorang hamba-hamba-Nya lebih daripada taufiq untuk berzikir kepada-Nya." (Tabarani: Majma' uz-Zawa'id)

           Sumber rujukan Mutakhab Ahadis - Bab Solat-solat sunat. ( Hadith para 1-6)

Semoga dapat diamalkan dan disampaikan.Insya Allah

Kita tutup dengan Tasbih Kafarah.

“SUBHAA NAKALLAAHUMMA WA BIHAMDIKA ASYHADU ANLAA ILAHA ILLAA ANTA ASTAGHFIRUKA WA ATUU BU ILAIKA






Post a Comment

0 Comments