Orang Yang Berpegang Dengan Agamanya Seperti Menggenggam Bara Api



 

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.   


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah S.W.T pada hari ini 14.4.2023 dengan izinnya dapatlah memuat naik hadith di laman web ini seperti di bawah:

Hadith ini diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW:

 

يَأْتِيْ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيْهِم عَلَى دِيْنِهِ كَالقَابِضِ عَلَى الجَمْرِ

Maksudnya: “Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang yang sabar daripada kalangan manusia yang berpegang dengan agamanya seperti seorang yang menggenggam bara api”.

[Riwayat al-Tirmizi, Kitab Fitnah, Bab Larangan mencela angina, no. Hadith 2186]

Hukum Hadith

Hadith ini dihukum oleh Imam al-Tirmizi sebagai hadith yang gharib daripada jalur ini (sanad ini) tetapi hadith ini sahih dengan banyaknya syawahid (jalur lain) padanya.


Makna Hadith

Hadith ini menggambarkan akan perihal dan keadaan manusia di akhir zaman yang penuh dengan cabaran dan ujian bagi orang-orang yang ingin berpegang dengan agama. Pada waktu itu, umat Islam perlulah menjaga agama mereka dan dalam masa yang sama perlu meninggalkan nikmat dunia yang sementara ini. Tambahan pula, persekitaran dan suasana pada waktu itu tidak membantu seseorang itu untuk menunaikan segala kewajipan dan tuntutan agama, bahkan apa yang ada disekelilingnya lebih mendorong untuk melakukan maksiat dan perkara-perkara yang boleh meruntuhkan keimanan seseorang itu. Disebabkan itu, Nabi SAW mengumpamakan orang yang hidup di zaman itu seperti seorang yang memegang bara api dalam melaksanakan tuntutan agama. Telah berkata al-Qari’:

 

“Tidak mungkin seseorang itu boleh memegang atau menggenggam bara api melainkan ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan perlu menanggung kesusahannya. Untuk itu, tidak dapat digambarkan pada waktu itu apabila seseorang itu ingin menjaga agamanya dan juga cahaya keimanannya kecuali dengan kesabaran yang tinggi”.

[Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 6:444]

 

Cara Menghadapi Fitnah

Antara cara untuk berdepan dengan fitnah akhir zaman adalah:

  • Berpegang dengan petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Hadith.
  • Memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar diselamatkan daripada segala fitnah dan memperbanyakkan amalan soleh.
  • Beruzlah (menjauhkan diri) daripada fitnah yang berlaku.
  • Menyertai dan sentiasa bersama dengan Jemaah Islam yang ada pada waktu itu.
  • Memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT.
  • Meningkatkan tahap kesabaran sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith di atas.
Rumusan

Kesimpulannya, zaman yang sedang kita lalui saat ini adalah zaman fitnah. Untuk itu, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita. Akhirnya, Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang istimewa kepada orang-orang yang sabar. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira”.

[al-Zumar:10]

Semoga kita semua mendapat Rahmat daripada  Allah SWT dan didoakan kepada sesiapa yang membaca hadith ini diberi ketenangan, kelapangan, di beri keberkatan rezeki, ditambahkan ilmu pengetahuan, diperteguhkan iman dalam apa juga keadaan. Sama-salah kita berdoa kepada Allah S.W.T kerana kita semua insan yang lemah hanya kepada Allah sahaja yang dapat membantu menyelesaikan segalanya dengan izin dan redhaNya. Insya Allah.

Sumber Rujukan:

i. Laman Web: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan;

ii. Rujukan Hadith ke 22 di dalam buku  40 Hadith Peristiwa Akhir Zaman (Tanda-Tanda Kiamat Kecil) m/s 51.


Kita tutup dengan Tasbih Kafarah.

“SUBHAA NAKALLAAHUMMA WA BIHAMDIKA ASYHADU ANLAA ILAHA ILLAA ANTA ASTAGHFIRUKA WA ATUU BU ILAIKA



Post a Comment

0 Comments