" Pokok Segala Maksiat Kerana Ingin Memuaskan Nafsu".

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.   

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah S.W.T pada hari ini 17.4.2023 dengan izinnya dapatlah kita berkongsi suatu petikan dalam Al-Hikam iaitu " Pokok Segala Maksiat Kerana Ingin Memuaskan Nafsu".


Rujukan : Petikan no 43 dalam Al-Hikam m/s 58 - 59.

43. Pokok dari semua maksiat dan kelalaian serta syahwat itu, kerana ingin memuaskan hawa nafsu. Sedang pokok dari segala ketaatan, kesedaran dan kesopanan akhlak budi, ialah kerana ada pengekangan (penahanan) terhadap hawa nafsu.

Sebagaimana firman Allah: 

 وَما أُبَرِّئُ نَفسي ۚ إِنَّ النَّفسَ لَأَمّارَةٌ بِالسّوءِ إِلّا ما رَحِمَ رَبّي ۚ إِنَّ رَبّي غَفورٌ رَحيمٌ

Dan Aku tidak mengakui kebersihan diriku, kerana hawa nafsu itu selalu mengajak (menyuruh) berbuat kejahatan, kecuali bagi sesiapa yang mendapat rahmat (perlindungan) Tuhan, sesungguh Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (Yusuf) 53

Abu Hafsh berkata:

Siapa yang tidak menuduh hawa nafsunya sepanjang masa, dan tidak menentangnya dalam segala hal, dan tidak menariknya ke jalan kebaikannya, maka ia telah tertipu. Dan siapa yang memandang padanya dengan merasa sudah baik, bererti telah membinasakannya.

Al-Junaid berkata

Jangan mempercayai hawa nafsu mu, meskipun telah lama taat kepada mu untuk berbuat ibadat kepada Tuhan mu.

Al-Bushiry dalam Burdahnya berkata:

Lawanlah hawa nafsu dan syaitan dan jangan menurutkan keduanya, meskipun keduanya itu memberi nasihat kepada mu untuk berbuat kebaikan, tetap engkau harus curiga dan berhati-hati.


Setelah kita meneliti ke semua apa yang disampaikan di atas, bolehlah disimpulkan "Barangsiapa yang berusaha menentang atau melawan hawa nafsunya untuk Tuhannya, maka akan terbuka baginya rahsia yakin dan penyerahan diri kepada Allah dan putus ia daripada segala sesuatu selain Allah. Semoga kita semua mendapat redha Allah dan kebahagian dunia dan akhirat. Insya Allah.

Hamba Allah Yang Lemah (Admin).

Kita tutup dengan Tasbih Kafarah.


“SUBHAA NAKALLAAHUMMA WA BIHAMDIKA ASYHADU ANLAA ILAHA ILLAA ANTA ASTAGHFIRUKA WA ATUU BU ILAIKA


Post a Comment

0 Comments